Sunday, May 2, 2010

Politik Jumud

Petikkan dari Utusan Malaysia


KLANG 29 April – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, sesiapa sahaja termasuk ahli politik yang tidak bersetuju dengan peraturan larangan berpolitik di masjid dan surau sebaiknya tidak perlu datang ke negeri itu.

Titah baginda, jika ingin datang ke Selangor, mereka perlu mematuhi dan menghormati segala peraturan serta undang-undang yang ditetapkan.
‘‘Rakyat harus maklum beta tidak menghalang rakyat dari negeri lain datang ke Selangor untuk bermastautin atau mencari rezeki.

“Bagaimanapun mereka hendaklah mematuhi peraturan dan undang-undang di sini dan tidak mempertikaikannya kerana ia diwujudkan untuk keselamatan, ketenteraman dan kesejahteraan rakyat.
“Sekiranya seseorang itu tidak bersetuju dengan peraturan yang telah ditetapkan di Selangor ini, maka hendaklah beliau mengelakkan diri daripada datang ke negeri ini,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian semasa merasmikan Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Hisamuddin yang dulu dikenali dengan nama Sekolah Agama Menengah Tinggi Jalan Kota Raja Klang di Kampung Jawa di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Datuk Mohamed Khusrin Munawi dan pegawai-pegawai kerajaan negeri.

Titah Sultan Sharafuddin, larangan penggunaan masjid dan surau di negeri ini sebagai tempat berpolitik bertujuan menjaga kesucian dan keharmonian tempat ibadat orang Islam.
Baginda menjelaskan, ini kerana masjid dan surau merupakan tempat umat Islam berkumpul melakukan amal ibadat di samping mengeratkan silaturahim sesama mereka.

Titah baginda lagi, sekiranya masjid dan surau dibiar digunakan sebagai pentas kempen politik, dikhuatiri ia akan disalah guna dan dicemari dengan perbuatan mencaci serta memfitnah yang akan menyebabkan perpecahan di kalangan umat Islam di Selangor.

‘‘Beta menjelaskan ini kerana ada sesetengah ahli politik mempertikaikan titah beta supaya tidak menggunakan masjid dan surau di Selangor sebagai tempat berpolitik dan menganggapnya karut serta sebagai peninggalan penjajah,” titah baginda.

Baginda seterusnya bertitah, pada zaman Rasulullah, masjid digunakan untuk menyedarkan dan menyeru umat Islam supaya mengukuhkan perpaduan kerana pada ketika itu mereka diancam dan diserang musuh.
Titah baginda, masjid adalah tempat yang paling sesuai untuk berlindung dan Rasullullah tidak pernah menyebar fitnah atau menghina orang lain di dalam masjid sebagaimana yang berlaku sekarang.
‘‘Justeru, adalah tidak munasabah membandingkan peranan Rasulullah menggunakan masjid untuk berpolitik dengan keadaan sekarang yang mana ahli-ahli politik mengambil kesempatan menggunakan masjid sebagai platform untuk menyebar agenda politik masing-masing.

‘‘Pada zaman Rasulullah juga tidak ada kemudahan-kemudahan lain untuk berceramah mengenai politik seperti stadium, balai raya, pusat konvensyen dan juga dewan serbaguna.
‘‘Berceramah di tempat-tempat tersebut dan jangan menggunakan masjid sebagai tempat untuk berceramah politik,” titah baginda.

Ulasan Penulis Blog

Ada kalanya sewaktu menyampaikan kuliah atau ceramah yang tidak langsung berkaitan dengan senario politik negara, tetapi penceramah akan memberikan contoh berkaitan politik, walaupun boleh dipertikaikan kesahihannya. Contohnya jika menyampaikan kuliah ilmu berkaitan "wasatiah" iaitu kesederhanaan, penceramah akan memberikan contoh seorang yang tidak sefahaman dan sealiran dengannya sebagai contoh.

 " Lihatlah si polan bin si polan, tersebar di internet dia berbuat itu dan ini ".  

Secara tidak langsung contoh tersebut boleh dinamakan berpolitik. Jika perkara ini dibiarkan berterusan maka bukan setakat sesama ummah malah negara pun boleh huru-hara di sebabkan fahaman politik sempit golongan ini. Menghina majlis ilmu dengan menabur fitnah atau mencampur adukkan dengan perkara yang bukan pada tempatnya. Sekali lagi matlamat menghalalkan cara.

Sebab itu bila kenyataan di buat mereka, kita keliru dengan apa sebenarnya yang mereka faham tentang politik dan batasannya. Politik kepartian, politik kemasyarakatan, urus tadbir masyarakat dan sehingga sifatullah pun sudah di campur adukkan sehingga mengelirukan umat.  Jika ini terus berlaku maka tidak hairanlah mengapa bangsa melayu kurang bersatu.

Monday, March 1, 2010

Apabila ramalan IMF dijadikan ukuran

Assalammualaikum dan salam 1Malaysia...

Khabar gembira bagi semua rakyat malaysia apabila PM mengumumkan pertumbuhan ekonomi melebihi sasaran asal sebanyak 2% bagi suku tahun ini. Seperti yang kita sedia ketahui bahawa pertumbuhan ekonomi sesebuah negara dipengaruhi oleh beberapa faktor. Faktor yang ingin saya ulas disini ialah berkenaan faktor politik. Umum juga tahu apabila kerajaan jepun bertukar pemerintah, ekonominya juga sedikit terjejas dan mengalami pertumbuhan pada kadar yang lembab. Apabila kerajaan baru yang memerintah jepun cuba memberikan gambaran yang baik tentang isu politik dan ekonomi jepun. Tiada ada seorang pun di kalangan ahli politik jepun yang menidakkan. Ini adalah kerana ahli politik mereka sangat bertanggung jawab dan menghormati prinsip kebebasan. Kesannya ekonomi jepun beransur-ansur positif dan yang terbaru jepun pula ingin belajar cara bagaimana malaysia mengawal krisis ekonomi serantau pada tahun 98. Cara malaysia terbukti lebih berkesan daripada cara IMF.  Lihatlah sajalah negara-negara yang menerima bantuan IMF pada waktu itu.

Dalam proses malaysia untuk memulihkan ekonominya, pelbagai pakej ransangan ekonomi yang telah disuntik. Ini untuk memastikan pelaburan swasta dan individu terus berjalan. Kesannya
ekonomi malaysia boleh terus berkembang dan positif. Menarik pelabur luar pada zaman kemelesetan begini memang sedikit sukar. Jadi malaysia bertindak tepat dengan memastikan pelaburan dalam negara terus berkembang disamping menarik pelabur asing melalui delegasi-delegasi menarik pelabur keluar negara, menyediakan pelbagai insentif untuk mereka dan pelbagai lagi. Kalau dulu amerika syarikat mengatakan malaysia tidak mengamalkan pasaran ekonomi bebas kerana membantu syarikat-syarikat tempatan dengan memberi bantuan dana dan pelbagai insentif lain, kini AS juga mengikuti jejak langkah yang sama. Menyelamatkan General Motor daripada terus menanggung kerugian sehingga digelar "Goverment Motor". Sekali lagi kita cara kita terbukti benar dan betul.

Analisis mantan menteri kewangan bahawa ekonomi malaysia akan retak dan bakal berkecai agak melulu. Ini kerana menjadikan anggaran IMF sebagai asas untuk mengatakan ekonomi malaysia diantara yang paling lembab diantara negara-negara seperti Korea Selatan, Singapura, Taiwan, Indonesia, Thailand, Filipina, dan Vietnam. Menurutnya juga ia bersifat sementara kesan pekej ransangan ekonomi. Maknanya apabila wang pakej ransangan sudah habis dibelanjakan maka kita akan merasai kesan sebenar kemelesetan ekonomi serantau. Ini juga bermakna negara-negara seperti jepun, amerika syarikat dan beberapa negara lain juga merasai kesan kenaikan sementara seperti malaysia juga kerana mereka pun ada menyediakan pakej ransangan ekonomi.

Berpolitik tanpa mengira kesan baik dan buruk boleh dianggap tidak bertanggung jawab. Ia juga sifat yang terlalu mementingkan diri tanpa mengira kesannya pada rakyat dan negara. Ingin saya nyatakan bahawa setakat ini tiada kebuluran dimalaysia. Yang ada cumalah orang-orang yang malas berusaha.  Janganlah pula ada dikalangan orang politik yang akan mencanangkan isu ini kelak untuk kelangsungan karier politik mereka. Janganlah berpolitik sehingga menjejaskan kelancaran pertumbuhan ekonomi negara. Perlu diingat bukan orang politik(yang tidak berhemah) dan keluarga mereka sahaja yang hidup di bumi malaysia ini.

Monday, February 15, 2010

Kematangan Berpolitik

Asalammualaikum dan salam sejahtera…

Politik adalah proses dan cara membuat keputusan untuk sesuatu kumpulan. Walaupun politik sering dirujuk kepada sekumpulan orang yang menguasai kerajaan, ia juga boleh didapati di dunia korporat, keluarga dan pelbagai institusi. Jadi berpolitik ialah proses sekumpulan manusia untuk membuat keputusan kepada kumpulan-kumpulan manusia yang lain.

Seorang ahli sains politik, Harold Lasswell berkata politik adalah siapa yang dapat apa, bila dan bagaimana ( who gets what, when and how ).dan menurut Lenin pula, politik ialah siapa yang boleh lakukan apa kepada siapa ( Who could do what to whom ).

Apabila sekumpulan manusia membuat keputusan yang hanya menguntungkan kumpulannya maka kita boleh mengatakan keputusan dibuat untuk kepentingan kumpulannya dan tidak untuk kepentingan bersama. Jadi berpolitik  juga boleh ditakrif sebagai keupayaan untuk memaksa kehendak seseorang kepada yang lain.

Ahli politik pula ialah seseorang atau sekumpulan yang berkemampuan untuk membuat keputusan bagi kumpulannya. Mereka ini boleh jadi dipilih dari kalangan kumpulan tersebut untuk mewakili kumpulan mereka atau seseorang yang mempunyai kuasa seperti ketua kerajaan atau raja. Bagi konteks demokrasi moden, ahli politik adalah mereka yang dipilih melalui proses pilihanraya.

Sains politik adalah kajian terhadap aliran politik,pendapat awam, pendapat ahli politik, kegiatan institusi dan idealogi ahli politik dan persatuan. Kajian ini tidak terbatas pada disiplin yang disebutkan tadi tetapi dalam skop yang lebih luas walaupun kadangkala bertindih disiplin dengan ilmu falsafah, undang-undang, sejarah dan pelbagai cabang ilmu lagi.

Pada pendapat saya, cara berpolitik mesti sesuai dengan cara hidup masyarakat, kepercayaan, agama dan geopolitik sesebuah negara. Contohnya di negara kita malaysia, cara berpolitik harus sesuai dengan konsep beraja atau demokrasi berperlembagaan. Ini bermakna selain dari ahli politik yang mendapat mandat rakyat, sultan atau raja juga menjadi hirarki tertinggi sekaligus sebagai pengimbang kuasa dan begitu juga sebaliknya.
Di negara yang berbilang kaum dan kepercayaan, keamanan dan keharmonian adalah perkara yang lebih bernilai dari duit. Jika kita berupaya mengekalkan perkara tersebut maka lebih banyak perkara positif yang akan menyusul. Kestabilan ekonomi dan kebebasan mengamalkan kepercayaan masing-masing akan lebih terjamin.

Semejak pilihanraya ke12 yang lalu, kematangan berpolitik dikalangan ahli politik sudah berada ditahap yang membimbangkan. Mereka dengan sengaja memainkan isu-isu yang sensitif. Ada sesetengah isu di putar belit agar memihak kepada mereka. Ini menunjukkan kehendak individu (gila kuasa) menjadi keutamaan. Berdemonstrasi pula cuba dijadikan amalan dan kebiasaan rakyat. Kedengarannya semacam polisi negara luar yang tidak sesuai dengan kita. Kalau membangkitkan rasa patriotik dikalangan rakyat tetapi beralasan isu-isu peribadi  dan isu yang tidak wujud adalah tidak patut. Tidak ada keperluan revolusi dan reformasi buat negara kita sekarang. Kita cuma memerlukan semua kaum memahami dan menghormati adat, kepercayaan dan agama masing-masing. Asas yang kedengaran remeh bagi mereka yang berkepentingan tetapi begitu penting buat Malaysia.

Fikirkan …..

Sunday, February 14, 2010

Qong xi Fa cai

Salam sejahtera kepada semua rakyat malaysia khusus yang bagi mereka yang meraikan sambutan tahun baru cina.

Menurut kalender orang cina, tahun ini merupakan tahun harimau. Tahun bagi 1Malaysia kerana harimau juga merupakan lambang bagi negara kita. Semangat harimau ini patut di kekalkan sampai bila-bila kerana simboliknya harimau pada negara.

Para atlet kita juga berbaju harimau, semoga tahun ini berupaya menjelmakan kejayaan bagi mereka semua.

Qong Xi Fa Cai