Sunday, May 2, 2010

Politik Jumud

Petikkan dari Utusan Malaysia


KLANG 29 April – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, sesiapa sahaja termasuk ahli politik yang tidak bersetuju dengan peraturan larangan berpolitik di masjid dan surau sebaiknya tidak perlu datang ke negeri itu.

Titah baginda, jika ingin datang ke Selangor, mereka perlu mematuhi dan menghormati segala peraturan serta undang-undang yang ditetapkan.
‘‘Rakyat harus maklum beta tidak menghalang rakyat dari negeri lain datang ke Selangor untuk bermastautin atau mencari rezeki.

“Bagaimanapun mereka hendaklah mematuhi peraturan dan undang-undang di sini dan tidak mempertikaikannya kerana ia diwujudkan untuk keselamatan, ketenteraman dan kesejahteraan rakyat.
“Sekiranya seseorang itu tidak bersetuju dengan peraturan yang telah ditetapkan di Selangor ini, maka hendaklah beliau mengelakkan diri daripada datang ke negeri ini,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian semasa merasmikan Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Hisamuddin yang dulu dikenali dengan nama Sekolah Agama Menengah Tinggi Jalan Kota Raja Klang di Kampung Jawa di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Datuk Mohamed Khusrin Munawi dan pegawai-pegawai kerajaan negeri.

Titah Sultan Sharafuddin, larangan penggunaan masjid dan surau di negeri ini sebagai tempat berpolitik bertujuan menjaga kesucian dan keharmonian tempat ibadat orang Islam.
Baginda menjelaskan, ini kerana masjid dan surau merupakan tempat umat Islam berkumpul melakukan amal ibadat di samping mengeratkan silaturahim sesama mereka.

Titah baginda lagi, sekiranya masjid dan surau dibiar digunakan sebagai pentas kempen politik, dikhuatiri ia akan disalah guna dan dicemari dengan perbuatan mencaci serta memfitnah yang akan menyebabkan perpecahan di kalangan umat Islam di Selangor.

‘‘Beta menjelaskan ini kerana ada sesetengah ahli politik mempertikaikan titah beta supaya tidak menggunakan masjid dan surau di Selangor sebagai tempat berpolitik dan menganggapnya karut serta sebagai peninggalan penjajah,” titah baginda.

Baginda seterusnya bertitah, pada zaman Rasulullah, masjid digunakan untuk menyedarkan dan menyeru umat Islam supaya mengukuhkan perpaduan kerana pada ketika itu mereka diancam dan diserang musuh.
Titah baginda, masjid adalah tempat yang paling sesuai untuk berlindung dan Rasullullah tidak pernah menyebar fitnah atau menghina orang lain di dalam masjid sebagaimana yang berlaku sekarang.
‘‘Justeru, adalah tidak munasabah membandingkan peranan Rasulullah menggunakan masjid untuk berpolitik dengan keadaan sekarang yang mana ahli-ahli politik mengambil kesempatan menggunakan masjid sebagai platform untuk menyebar agenda politik masing-masing.

‘‘Pada zaman Rasulullah juga tidak ada kemudahan-kemudahan lain untuk berceramah mengenai politik seperti stadium, balai raya, pusat konvensyen dan juga dewan serbaguna.
‘‘Berceramah di tempat-tempat tersebut dan jangan menggunakan masjid sebagai tempat untuk berceramah politik,” titah baginda.

Ulasan Penulis Blog

Ada kalanya sewaktu menyampaikan kuliah atau ceramah yang tidak langsung berkaitan dengan senario politik negara, tetapi penceramah akan memberikan contoh berkaitan politik, walaupun boleh dipertikaikan kesahihannya. Contohnya jika menyampaikan kuliah ilmu berkaitan "wasatiah" iaitu kesederhanaan, penceramah akan memberikan contoh seorang yang tidak sefahaman dan sealiran dengannya sebagai contoh.

 " Lihatlah si polan bin si polan, tersebar di internet dia berbuat itu dan ini ".  

Secara tidak langsung contoh tersebut boleh dinamakan berpolitik. Jika perkara ini dibiarkan berterusan maka bukan setakat sesama ummah malah negara pun boleh huru-hara di sebabkan fahaman politik sempit golongan ini. Menghina majlis ilmu dengan menabur fitnah atau mencampur adukkan dengan perkara yang bukan pada tempatnya. Sekali lagi matlamat menghalalkan cara.

Sebab itu bila kenyataan di buat mereka, kita keliru dengan apa sebenarnya yang mereka faham tentang politik dan batasannya. Politik kepartian, politik kemasyarakatan, urus tadbir masyarakat dan sehingga sifatullah pun sudah di campur adukkan sehingga mengelirukan umat.  Jika ini terus berlaku maka tidak hairanlah mengapa bangsa melayu kurang bersatu.