Showing posts with label Politik Malaysia. Show all posts
Showing posts with label Politik Malaysia. Show all posts

Sunday, May 2, 2010

Politik Jumud

Petikkan dari Utusan Malaysia


KLANG 29 April – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, sesiapa sahaja termasuk ahli politik yang tidak bersetuju dengan peraturan larangan berpolitik di masjid dan surau sebaiknya tidak perlu datang ke negeri itu.

Titah baginda, jika ingin datang ke Selangor, mereka perlu mematuhi dan menghormati segala peraturan serta undang-undang yang ditetapkan.
‘‘Rakyat harus maklum beta tidak menghalang rakyat dari negeri lain datang ke Selangor untuk bermastautin atau mencari rezeki.

“Bagaimanapun mereka hendaklah mematuhi peraturan dan undang-undang di sini dan tidak mempertikaikannya kerana ia diwujudkan untuk keselamatan, ketenteraman dan kesejahteraan rakyat.
“Sekiranya seseorang itu tidak bersetuju dengan peraturan yang telah ditetapkan di Selangor ini, maka hendaklah beliau mengelakkan diri daripada datang ke negeri ini,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian semasa merasmikan Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Hisamuddin yang dulu dikenali dengan nama Sekolah Agama Menengah Tinggi Jalan Kota Raja Klang di Kampung Jawa di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Datuk Mohamed Khusrin Munawi dan pegawai-pegawai kerajaan negeri.

Titah Sultan Sharafuddin, larangan penggunaan masjid dan surau di negeri ini sebagai tempat berpolitik bertujuan menjaga kesucian dan keharmonian tempat ibadat orang Islam.
Baginda menjelaskan, ini kerana masjid dan surau merupakan tempat umat Islam berkumpul melakukan amal ibadat di samping mengeratkan silaturahim sesama mereka.

Titah baginda lagi, sekiranya masjid dan surau dibiar digunakan sebagai pentas kempen politik, dikhuatiri ia akan disalah guna dan dicemari dengan perbuatan mencaci serta memfitnah yang akan menyebabkan perpecahan di kalangan umat Islam di Selangor.

‘‘Beta menjelaskan ini kerana ada sesetengah ahli politik mempertikaikan titah beta supaya tidak menggunakan masjid dan surau di Selangor sebagai tempat berpolitik dan menganggapnya karut serta sebagai peninggalan penjajah,” titah baginda.

Baginda seterusnya bertitah, pada zaman Rasulullah, masjid digunakan untuk menyedarkan dan menyeru umat Islam supaya mengukuhkan perpaduan kerana pada ketika itu mereka diancam dan diserang musuh.
Titah baginda, masjid adalah tempat yang paling sesuai untuk berlindung dan Rasullullah tidak pernah menyebar fitnah atau menghina orang lain di dalam masjid sebagaimana yang berlaku sekarang.
‘‘Justeru, adalah tidak munasabah membandingkan peranan Rasulullah menggunakan masjid untuk berpolitik dengan keadaan sekarang yang mana ahli-ahli politik mengambil kesempatan menggunakan masjid sebagai platform untuk menyebar agenda politik masing-masing.

‘‘Pada zaman Rasulullah juga tidak ada kemudahan-kemudahan lain untuk berceramah mengenai politik seperti stadium, balai raya, pusat konvensyen dan juga dewan serbaguna.
‘‘Berceramah di tempat-tempat tersebut dan jangan menggunakan masjid sebagai tempat untuk berceramah politik,” titah baginda.

Ulasan Penulis Blog

Ada kalanya sewaktu menyampaikan kuliah atau ceramah yang tidak langsung berkaitan dengan senario politik negara, tetapi penceramah akan memberikan contoh berkaitan politik, walaupun boleh dipertikaikan kesahihannya. Contohnya jika menyampaikan kuliah ilmu berkaitan "wasatiah" iaitu kesederhanaan, penceramah akan memberikan contoh seorang yang tidak sefahaman dan sealiran dengannya sebagai contoh.

 " Lihatlah si polan bin si polan, tersebar di internet dia berbuat itu dan ini ".  

Secara tidak langsung contoh tersebut boleh dinamakan berpolitik. Jika perkara ini dibiarkan berterusan maka bukan setakat sesama ummah malah negara pun boleh huru-hara di sebabkan fahaman politik sempit golongan ini. Menghina majlis ilmu dengan menabur fitnah atau mencampur adukkan dengan perkara yang bukan pada tempatnya. Sekali lagi matlamat menghalalkan cara.

Sebab itu bila kenyataan di buat mereka, kita keliru dengan apa sebenarnya yang mereka faham tentang politik dan batasannya. Politik kepartian, politik kemasyarakatan, urus tadbir masyarakat dan sehingga sifatullah pun sudah di campur adukkan sehingga mengelirukan umat.  Jika ini terus berlaku maka tidak hairanlah mengapa bangsa melayu kurang bersatu.

Monday, February 15, 2010

Kematangan Berpolitik

Asalammualaikum dan salam sejahtera…

Politik adalah proses dan cara membuat keputusan untuk sesuatu kumpulan. Walaupun politik sering dirujuk kepada sekumpulan orang yang menguasai kerajaan, ia juga boleh didapati di dunia korporat, keluarga dan pelbagai institusi. Jadi berpolitik ialah proses sekumpulan manusia untuk membuat keputusan kepada kumpulan-kumpulan manusia yang lain.

Seorang ahli sains politik, Harold Lasswell berkata politik adalah siapa yang dapat apa, bila dan bagaimana ( who gets what, when and how ).dan menurut Lenin pula, politik ialah siapa yang boleh lakukan apa kepada siapa ( Who could do what to whom ).

Apabila sekumpulan manusia membuat keputusan yang hanya menguntungkan kumpulannya maka kita boleh mengatakan keputusan dibuat untuk kepentingan kumpulannya dan tidak untuk kepentingan bersama. Jadi berpolitik  juga boleh ditakrif sebagai keupayaan untuk memaksa kehendak seseorang kepada yang lain.

Ahli politik pula ialah seseorang atau sekumpulan yang berkemampuan untuk membuat keputusan bagi kumpulannya. Mereka ini boleh jadi dipilih dari kalangan kumpulan tersebut untuk mewakili kumpulan mereka atau seseorang yang mempunyai kuasa seperti ketua kerajaan atau raja. Bagi konteks demokrasi moden, ahli politik adalah mereka yang dipilih melalui proses pilihanraya.

Sains politik adalah kajian terhadap aliran politik,pendapat awam, pendapat ahli politik, kegiatan institusi dan idealogi ahli politik dan persatuan. Kajian ini tidak terbatas pada disiplin yang disebutkan tadi tetapi dalam skop yang lebih luas walaupun kadangkala bertindih disiplin dengan ilmu falsafah, undang-undang, sejarah dan pelbagai cabang ilmu lagi.

Pada pendapat saya, cara berpolitik mesti sesuai dengan cara hidup masyarakat, kepercayaan, agama dan geopolitik sesebuah negara. Contohnya di negara kita malaysia, cara berpolitik harus sesuai dengan konsep beraja atau demokrasi berperlembagaan. Ini bermakna selain dari ahli politik yang mendapat mandat rakyat, sultan atau raja juga menjadi hirarki tertinggi sekaligus sebagai pengimbang kuasa dan begitu juga sebaliknya.
Di negara yang berbilang kaum dan kepercayaan, keamanan dan keharmonian adalah perkara yang lebih bernilai dari duit. Jika kita berupaya mengekalkan perkara tersebut maka lebih banyak perkara positif yang akan menyusul. Kestabilan ekonomi dan kebebasan mengamalkan kepercayaan masing-masing akan lebih terjamin.

Semejak pilihanraya ke12 yang lalu, kematangan berpolitik dikalangan ahli politik sudah berada ditahap yang membimbangkan. Mereka dengan sengaja memainkan isu-isu yang sensitif. Ada sesetengah isu di putar belit agar memihak kepada mereka. Ini menunjukkan kehendak individu (gila kuasa) menjadi keutamaan. Berdemonstrasi pula cuba dijadikan amalan dan kebiasaan rakyat. Kedengarannya semacam polisi negara luar yang tidak sesuai dengan kita. Kalau membangkitkan rasa patriotik dikalangan rakyat tetapi beralasan isu-isu peribadi  dan isu yang tidak wujud adalah tidak patut. Tidak ada keperluan revolusi dan reformasi buat negara kita sekarang. Kita cuma memerlukan semua kaum memahami dan menghormati adat, kepercayaan dan agama masing-masing. Asas yang kedengaran remeh bagi mereka yang berkepentingan tetapi begitu penting buat Malaysia.

Fikirkan …..

Saturday, April 4, 2009

Tidak ada lagi kebebasan intelektual dalam berpolitik di Malaysia.

Sebelum Pilihan Raya Umum ke 12, unsur - unsur hasutan, cercaan dan fitnah cuma berlaku di negeri-negeri tertentu apabila berkempen. Namun menjelang dan lebih teruk lagi selepas PRU ke12, unsur-unsur ini semakin berleluasa dan rakyat malaysia seakan-akan membenarkan perkara ini. Ini lebih cendrong di lakukan sebilangan pihak yang ingin memanipulasi minda rakyat agar menyokong mereka. Mencerca, memaki hamun, mengutuk, bahkan mungkin memfitnah lawan yang tidak sealiran atau sependapat dengan mereka. Jika ini menjadi amalan politik di malaysia, maka secara simboliknya nilai-nilai intelektual bagi mereka yang membenarkannya berada ditahap yang paling rendah sekali. Amalan politik kotor ini telah merampas kebebasan intelektual dalam berpolitik di malaysia. Ada diantara mereka ini yang di jemput sebagai pensyarah universiti terkemuka diluar negara, lulusan agama dan golongan profesional. Tetapi apa sudah jadi dengan anda. Matlamat tidak menghalalkan cara.

Bercakap mengenai ungkapan "Matlamat tidak menghalalkan cara" ini saya teringat kepada ustaz saya semasa di sekolah dulu. Ustaz saya ni mengajar subjek agama iaitu Pendidikan Al-Quran Dan Sunnah. Di pendekkan cerita, dalam kelas ustaz saya ni sempat pula berkempen politik. Beliau selalu merujuk kerajaan di bawah pimpinan Tun Dr. Mahathir pada waktu itu sebagai kerajaan taghut(kafir). Semasa itu Dato' Seri Anuar Ibrahim masih lagi dalam kerajaan dan UMNO. Walaupun ada kebaikan yang dilakukan kerajaan ketika itu tetapi menurut pendapat beliau tetap salah. Kerana kerajaan yang ada bukan kerajaan islam tetapi kerajaan taghut (kafir). Matlamat tidak menghalalkan cara katanya.

Senario yang terjadi sekarang, mungkin pemimpin dan para penyokong golongan ini beranggapan bahawa sudah tiba masanya matlamat menghalalkan cara. Dimanakah nilai ilmu yang diajar kepada saya tadi. Walaupun saya fikirkan ketika dibangku sekolah untuk tidak membenarkan apa yang ustaz saya katakan kepada kami semua. Tetapi nilai kepercayaan ustaz saya cuba ajar kepada kami seperti tidak mengikuti tradisi para ilmuan kita yang terdahulu. Kalau ustaz terbaca coretan saya ini, saya pohon halalkan segala ilmu yang ustaz sampaikan. Melalui perbezaan ini kita mencari titik pertemuan. Semoga usaha kita diberkati Allah.

Politik berlandaskan intelektual bagi saya ialah melalui ilmu. Ilmu-ilmu itu seperti ilmu politik, kemasyarakatan, agama, ekonomi, perpaduan dan banyak lagi. Jangan dimomokkan kepada rakyat perkara yang tidak masuk akal. Rakyat kita hari ni pun sudah ramai yang berilmu. Apabila mendengar sesuatu isu, saya percaya mereka akan selidik dulu. Janganlah sensasikan sesuatu dengan cara "Cukup kerusi lompat nanti kita akan memerintah". Meletakkan rakyat keseluruhannya dalam keadaan tidak menentu. Berpolitiklah dengan dengan rasa ikhlas bukan berpolitik dengan cara "gunalah apa cara sekalipun YANG PENTING MENANG".

Sekian,